Tuesday 4 October 2016

SLIPPED DISC DAN SENDI

KEDUDUKAN yang tidak betul sama ada ketika mengangkat atau mengalih barang, serta kerap mengangkat barang berat menjadikan statistik rakyat Malaysia yang menghidap sakit tulang belakang meningkat sehingga 80 peratus.

Peratusan ini sebenarnya lebih menjurus kepada sakit tulang belakang yang dikenali sebagai slipped disc atau cakera tergelincir.

Disebabkan sikap mengambil ringan mengenai hal tersebut menjadikan kelompok usia terbesar yang mendapat sakit ini adalah golongan lebih muda termasuk mereka yang berusia 20-an..

Menurut Pakar Ortopedik dan Tulang Belakang, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Nurul Azwa Mohamad Noor, secara amnya, cakera tergelincir yang berlaku dalam kalangan mereka yang berada dalam lingkungan berkenaan, kerana pada usia tersebut gel yang terdapat pada tulang belakang masih lembut dan ia mudah terkeluar daripada ‘landasan’.

Tambah beliau lagi, walaupun cakera tergelincir ini tidak mengundang bahaya atau membawa maut, ia wajar mendapat perhatian yang teliti sekiranya sakit berterusan.

“Jika kita berbicara mengenai sakit tulang belakang, ia ada 1001 sakit yang boleh diceritakan.

“Begitupun, sakit tulang belakang yang paling kerap terjadi dalam kalangan masyarakat hari ini ialah cakera tergelincir.

“Sekiranya mereka mendapat sakit ini, ia akan dialaminya seumur hidup dan tiada cara untuk pulihkan seperti sedia kala. Apa yang boleh dilakukan hanyalah mengawal supaya ia tidak sakit atau menyebabkan saraf kita terganggu dan supaya ada pergerakan semula,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Ulas Dr. Nurul Azwa, kebanyakan kes cakera tergelincir terjadi disebabkan kecederaan akibat hentakan ketika terjatuh atau mengangkat beban yang berat.

Menurutnya, masalah ini jarang dilihat dalam kalangan golongan tua kerana gel sudah menjadi semakin kering apabila seseorang itu meningkat usia.

Dalam hal ini, gel tidak dapat menyerap hentakan atau mengalir keluar seperti yang terjadi kepada golongan dewasa yang lebih muda.

Bercerita lanjut mengenai cakera tergelincir ini, Dr. Nurul Azwa berkata, ia sebenarnya merujuk pada keretakan dan koyakan pada bahagian dalam tulang belakang.

Ini mengakibatkan gel terkeluar daripada sarungnya lalu menyebabkan cakera membonjol.

Kawasan yang biasanya akan terjadi perkara ini ialah kawasan paling bawah pada tulang belakang kerana ia merupakan tempat yang paling lemah.

“Apabila bercakap mengenai cakera tergelincir ini, ramai yang beranggapan bahawa perkataan slipped yang digunakan itu memberikan maksud cakera tersebut teranjak dari tempatnya.

“Sebenarnya, itu tidak berlaku kerana cakera itu tetap pada kedudukannya di tulang belakang dan yang terkeluar hanyalah gel.

“Tanggapan tersebut terjadi mungkin kerana hasil imbasan menunjukkan seperti bentuk yang berselisih dan disebabkan itulah orang fikir cakera itu teranjak dari kedudukannya,” tuturnya lanjut.

Kata beliau lagi, berat badan berlebihan juga merupakan faktor risiko yang menambahkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan pada cakera selain jenis pekerjaan dan kegiatan sukan lasak.

Sungguhpun begitu, nasihatnya, jangan sekali-kali memandang ringan jika mengalami masalah sakit belakang kerana sesuatu yang serius mungkin berlaku.

Dr. Nurul Azwa menerangkan lagi, jika kesakitan yang dialami itu berlarutan, mereka disarankan untuk segera berjumpa doktor.

Biasanya, doktor akan menjalankan diagnosis berdasarkan sejarah pesakit dengan mengambil kira faktor usia, rekod kecederaan akibat terjatuh atau mengangkat benda berat.

Doktor juga perlu mengetahui bahagian yang sakit dan terdapat kebarangkalian kesakitan tersebut berpindah ke punggung, paha atau ke kaki sepenuhnya.

Ini memberikan gambaran kepada doktor dan daripada situ doktor akan melakukan beberapa ujian ringkas ke atas pesakit sepert straight leg raising (SLR) dengan mengangkat kaki pesakit tanpa membengkokkan lutut.

Jika rasa sakit seseorang pesakit itu bertambah, ia menunjukkan berlaku tekanan pada saraf tulang belakang.

Secara amnya, 80 peratus sakit belakang boleh dirawat secara konservatif, iaitu dengan ubat dan fisioterapi tanpa sebarang prosedur invasif yang memerlukan suntikan dan pembedahan.

Lazimnya doktor akan berusaha untuk memberikan ubat dan rawatan fisioterapi terlebih dahulu kepada pesakit cakera tergelincir, bagi melegakan kesakitan yang dialami pesakit dan pada masa yang sama memantau perkembangan mereka.

Menurut Dr. Nurul Azwa, adakalanya di peringkat awal sakit tersebut tidak begitu dirasai menyebabkan mereka yang datang berjumpa doktor mendapati penyakit tersebut telah menjadi serius.

Antara simptom-simptom berlakunya cakera tergelincir ialah sakit pada bahagian kaki atau proses perkumuhan terganggu dan tidak terkawal.

Beritahunya lagi, senaman boleh mengelakkan cakera tergelincir daripada berlaku kerana ia mampu membuatkan otot belakang menjadi kuat dan mereka yang kurang bersenam selalunya akan mengalami masalah tersebut.

Bagaimanapun, Dr. Nurul Azwa menasihatkan orang ramai yang mengalami sakit belakang yang berterusan agar merujuk kepada doktor agar tidak terlepas pandang sesuatu yang mungkin berbahaya.

=================================

Jom amalkan OSTEMATRIX untuk tilang anda!!! ;-)

Hubungi 012-3618413 atau 017-3129349 untuk keterangan lanjut dan khidmat nasihat :-)

No comments:

Post a Comment

BUKIT GASING FAMILY HIKING TRAIL

 BUKIT GASING FAMILY HIKING TRAIL.  31 OGOS 2020, kami sekeluarga mendaki ke Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya.  Sementelah anak-...