Thursday 8 March 2018

IBRAH AL-KAHFI: SATU FIKRAH, SATU AMAL.

IBRAH AL-KAHFI: SATU FIKRAH, SATU AMAL.

Allah telah menceritakan kesatuan yang dinikmati oleh Ashabul Kahfi. Segolongan kecil yang berusia cukup muda mensisihkan diri dari kebobrokan masyarakat yang serba karut.

Mereka berjaya mempertahankan iman dalam keadaan yang cukup menekan. Ayuh kita saksikan proses bagaimana mereka dikurniakan kesatuan oleh Allah.

⚫ Inisiatif Memelihara Iman.

Ashabul Kahfi melihat sendiri kesesatan yang mendominasi masyarakat mereka. Sedangkan mereka tiada upaya mencegahnya. Memandangkan mereka masih budak, tiada upaya ilmu dan tidak mempunyai daya pengaruh. Lantas Ashabul Kahfi mengambil inisiatif masing-masing tanpa dirancang. Mereka melangkah keluar dari negeri mereka demi memelihara iman.

⚫ Liqa' Fikri.

Setiap dari mereka diilhamkan untuk pergi menuju ke arah yang sama. Diringkaskan dari Tafsir Ibnu Kathir bahawa ketika dalam perjalanan, orang pertama dalam kalangan mereka singgah berehat di bawah pokok. Diikuti oleh orang keseterusnya dan keseterusnya.

Sehinggalah semua dalam kalangan mereka berehat di bawah pokok. Sedangkan ketika itu mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Mereka senyap. Mereka belum kenal fikrah mereka antara satu sama lain.

Tiba-tiba salah seorang dari mereka bangun memecah kesunyian, lalu menerangkan sebab mengapa dirinya berada di situ.

"Sesungguhnya aku menyaksikan kaumku dalam keadaan batil. Sementara aku dilarang untuk mengabdikan diri kepada Allah"

Pengakuan tersebut disambut oleh seorang demi seorang dari mereka dengan ucapan:

"Demi Allah, aku juga begitu"

⚫ Ribat Hati.

Sejurus selepas masing-masing sedar bahawa fikrah mereka sama, manhaj hidup mereka sama dan langkah mereka sama. Maka ketika itulah Allah menggambarkan hati mereka diikat kemas. Ribat. Ikatan iman tanpa apa-apa kepentingan yang lain.

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ
"Dan Kami telah ikatkan hati-hati mereka lantas mereka bangkit berkata "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi. Kami tidak sekali-kali menyeru selain dari Dia" - al-Kahfi 14.

⚫ Syarat Bersatu.

Hari ini ramai yang menyeru agar berukhuwwah tanpa sebarang syarat yang kukuh. Ibarat cek kosong yang terdedah kepada penipuan. Apa yang telah terpapar dalam kisah Ashabul Kahfi, mereka mencapai darjat ukhuwwah tertinggi setelah berkongsi iman yang sama serta manhaj hidup yang sama.

Iman yang tidak disertakan dengan kepentingan duniawi. Iman yang jujur, tidak menipu. Berterus terang terhadap keyakinan masing-masing. Tidak memperguna antara satu sama lain. Itulah sebenar-benar ukhuwwah.

⚫ Satu Fikrah Satu Amal.

Walaupun sesi perkenalan Ashabul Kahfi hanyalah sebentar. Hanya beberapa ketika berkongsi fikrah di bawah pokok. Namun demikian, Allah mengikat hati mereka dan melangsungkan ukhuwwah mereka lebih dari 300 tahun lamanya.

Iman jika dikongsi akan kekal berbuah manis. Sementara hubungan yang berpaksikan kepentingan dunia dan material akan luak dan menjadi punca perbalahan sesama manusia.

Abdul Mu'izz Muhammad
2 Mac 2018.

No comments:

Post a Comment

BUKIT GASING FAMILY HIKING TRAIL

 BUKIT GASING FAMILY HIKING TRAIL.  31 OGOS 2020, kami sekeluarga mendaki ke Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya.  Sementelah anak-...