Sunday 26 February 2017

TELOMERE : PERAMAL PENUAAN, PENYAKIT

RAMAI saintis percaya pemahaman yang mendalam mengenai telomere dapat membantu memahami kaitannya dengan kanser, penyakit paru-paru dan penuaan.

Alexey Olovnikov merupakan saintis pertama mengenal pasti telomere pada 1973. Beliau mendapati saiz telomere menjadi semakin pendek dengan peningkatan umur.

Setakat ini terdapat ribuan kajian sains berhubung telomere. Telomere merupakan unit kecil DNA yang terletak di kedua-dua hujung DNA.

Ia berfungsi menjaga kestabilan bahan yang yang terdapat pada gen, menghalang pengaktifan jalan-rentas (pathway) yang menyebabkan kerosakan DNA dan mengawal proses penuaan sel.

Keadaan tersebut dipercayai berlaku kerana telomere tidak direplikasi sepenuhnya. Jadi, telomere yang dipercayai berfungsi sebagai jam biologi yang paling berkuasa yang pernah dikesan setakat ini menjadi semakin pendek dari masa ke masa hingga menjelang saat kematian.

Akhirnya replikasi DNA dan pembahagian sel berhenti di mana ia menjadi satu daripada punca kematian.

Namun terdapat pelbagai kajian menunjukkan nutrien tertentu mampu memainkan peranan penting dalam menjaga malah mampu menambah saiz telomeres dengan menjadikannya semakin panjang.

Keadaan tersebut seterusnya dipercayai memberi kesan positif kepada proses penuaan yang dipercayai menambah bilangan jangka hayat atau usia seseorang.

Bahan bermanfaat

🍇🍇🍇🍇🍇🍇🍇

Sebuah kajian terkini berjudul Diet, Nutrition and Telomere Length seperti dilaporkan dalam Journal of Nutritional Biochemistry (Oktober 2011) menunjukkan folat iaitu sejenis vitamin B memainkan peranan dalam memulihara integriti dan proses methylation DNA.

Ia seterusnya dipercayai membantu mempengaruhi saiz panjang telomere.

Methylation ialah proses penambahan kumpulan methyl kepada sesuatu sebatian atau penggantian atom dengan kumpulan methyl.

Kajian juga mendapati wanita yang mengambil suplemen vitamin B12 memiliki telomere yang lebih panjang berbanding dengan mereka yang tidak mengambil vitamin tersebut. Vitamin D3, Zink, zat Besi, asid lemak omega-3, vitamin C dan vitamin E didapati mempengaruhi panjang telomere.

Penemuan ini menyokong penemuan kajian terdahulu yang dilaporkan pada 2009 yang menunjukkan bukti dari sudut epidemiologi mengenai pengambilan multivitamin oleh golongan wanita dikaitkan dengan saiz telomere yang lebih panjang. 

Kajian terdahulu yang dimaksudkan berjudul Multivitamin Use and Telomere Length in Women seperti dilaporkan dalam jurnal American Society for Nutrition (2009).

Kumpulan saintis yang menjalankan kajian tersebut menyatakan  panjang relatif telomere DNA leukosit pada wanita yang mengambil multivitamin setiap hari ialah purata 5.1 peratus berbanding dengan mereka yang tidak mengambilnya.

Analisa mikronutrien mendapati pengambilan vitamin C dan vitamin E yang terkandung dalam makanan yang mengganggunya pula setiap satu dikaitkan dengan saiz telomere yang lebih panjang walaupun setelah mengetepikan faktor penggunaan multivitamin.

Apakah mekanisme yang menyebabkan nutrien mempengaruhi panjang telomere? Nutrien dipercayai mempengaruhi telomerase iaitu enzim yang membantu penambahan ‘telomere berulang’ (telomeric repeat: terdiri daripada jujukan/urutan protein DNA dengan singkatan TTAGGG) pada kedua-dua hujung DNA.

Pada 1984, profesor biokimia dan biofizik dari University of California San Francisco, Elizabeth Blackburn mendapati enzim telomerase sebenarnya berupaya memanjangkan saiz telomere dengan mensintesis DNA daripada primer RNA.

Primer DNA ialah benang asid nukleik yang berperanan penting dalam proses awal pembinaan DNA. Beliau bersama Crol Greider dan Jack Szostak telah dianugerahkan Hadiah Nobel in Physiology of Medicine secara bersama pada 2009 kerana penemuan mereka bagaimana kromosom dijaga oleh telomere dan enzim telomerase. 

Pengetahuan berkenaan telomere dikatakan dapat membantu memanjangkan umur manusia. Kumpulan saintis yang menjalankan kajian bertungkus-lumus cuba mewujudkan strategi dalam bentuk bahan farmaseutikal bagi memanjangkan saiz telomere.

Namun pada masa sama terdapat bukti kukuh mengenai strategi perubahan gaya hidup dan intervensi nutrisi yang mampu lakukannya.

Bukankah ia berita baik untuk semua orang kerana telomere bersaiz pendek bukan sahaja faktor risiko untuk kematian malah untuk pelbagai penyakit lain.

Misalnya telomere didapati mempunyai kaitan dengan penyakit termasuk sistem imun kurang cekap, diabetes jenis 2, parut atherosclerosis, penyakit berkaitan saraf dan kerosakan saraf. Ia juga dipercayai menyebabkan kerosakan buah zakar, spleen dan usus.

Vitamin D penting

Pelbagai kajian mendapati nutrien-nutrien yang akan dibincangkan memiliki impak bermanfaat terhadap panjang telomere. Namun pembaca budiman perlu ambil perhatian mengenai nutrien antipenuaan bukan hanya tertumpu kepada nutrien yang disebutkan di dalam artikel ini.

Ini kerana hakikat antipenuaan memerlukan penglibatan pelbagai aspek penting iaitu yang terkandung dalam lingkungan gaya hidup holistik.

Ia melibatkan unsur-unsur fizikal, mental, psiko-emosi dan semangat. Terdapat pengamal yang menggunakan nilai kerohanian bagi menggantikan semangat.

Bahan pertama yang akan dibincangkan secara ringkas ialah vitamin. Sebuah kajian yang melibatkan 2,000 wanita didapati mereka yang mempunyai paras vitamin D tinggi mengalami perubahan berkaitan penuaan yang rendah pada DNA mereka. Mereka juga didapati kurang mengalami inflamasi (keradangan).

Wanita yang memiliki paras vitamin D yang tinggi juga didapati memiliki saiz telomere yang lebih panjang. Ia dapat diterjemah sebagai wanita yang memiliki paras vitamin D yang tinggi dipercayai mengalami proses penuaan yang lebih perlahan berbanding dengan mereka yang memiliki paras vitamin D yang rendah.

Setakat ini panjang telomere leukosit (leukocyte telomere length, LTL) dijadikan sebagai peramal penyakit-penyakit berkaitan penuaan. Panjang telomere didapati menjadi semakin pendek dengan peningkatan umur.

Namun jika seseorang sedang mengalami inflamasi kronik, saiz telomere dikatakan menjadi pendek pada kadar yang pantas. Ia berlaku kerana tindakan tubuh terhadap inflamasi meningkatkan penggantian leukosit.

Paras vitamin D dikatakan berkurangan dengan pertambahan umur. Sebaliknya paras C-reactive protein (CRP) semakin bertambah. Kedua-dua hakikat atau keadaan ini dipercayai menyebabkan seseorang mudah terdedah kepada penyakit-penyakit autoimiun, multiple sclerosis dan rheumatoid arthritis.

Vitamin D3 yang disintesis daripada pancaran ultra-violet cahaya matahari sebenarnya ialah penghalang berkuasa terhadap tindakan yang mencetus inflamasi.

Dengan mengurangkan kadar inflamasi, maka penggantian leukosit dapat dihentikan. Keadaan ini membentuk tindak-batas rantaian efektif dalam membantu mengurangkan risiko pelbagai penyakit.

No comments:

Post a Comment

BUKIT GASING FAMILY HIKING TRAIL

 BUKIT GASING FAMILY HIKING TRAIL.  31 OGOS 2020, kami sekeluarga mendaki ke Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya.  Sementelah anak-...